Saturday, April 1, 2023

IBARAT KAUNSELING DIRI SENDIRI

Assalamualaikum 
Setiap manusia pasti pernah dilanda masalah. Masalah atau isu-isu yang menganggu fikiran atau kelangsungan hidup seharian ini memerlukan seseorang atau sesuatu yang boleh membantu kita menyelesaikan atau meringankan beban fikiran yang sedang diduga itu. Apabila diulit masalah, kita cenderung mencari orang lain untuk tolong menyelesaikan masalah itu. Selalunya kita akan merujuk kaunselor, pakar, paling tidak yang mempunyai gelaran-gelaran tertentu di hadapan nama masing-masing misalnya Dr, Prof. Datuk, Ir, dan lain-lain yang mana kita bergantung harap agar dapat membantu merungkai kesulitan kita itu. 

Sebenarnya semua masalah peribadi berkaitan kejiwaan dapat diselesaikan sendiri oleh tuan punya diri. Anda hanya memerlukan sedikit keberanian untuk berfikir secara luar biasa apabila diterjah satu-satu masalah. Dengan berfikir begitu, anda akan mampu menyelesaikan hampir semua masalah selagi ia dalam lingkungan kuasa dan kehidupan anda sendiri. Malah, jika lebih berani, anda boleh menyelesaikan masalah orang lain pula tanpa perlu lebih dahulu keluar universiti pun. Hebat sekali. 

Betul, ramai orang kurang mengetahui bahawa penyelesaian itu sebenarnya daripada diri sendiri. Lain halnya masalah yang membabitkan pihak lain dan ia adalah berkaitan kebendaan, yang ini memang perlukan campur tangan pihak lain. Tetapi selagi ia adalah masalah yang mencetus dari dalam diri sendiri, diri sendiri adalah kaunselor terbaik buatnya. Misalnya, dia ada masalah dengan rakan sekerja, menanyakannya kepada pakar. Dia akan mendapat jawapan umum, setara dan sekata. Tentu dia akan merasakan jawapan itu tidak menjurus pada penyelesaian masalahnya secara khusus, lantas dia akan menambah soalan. Sedangkan, orang yang sebenar- benarnya tahu situasi sebenar apa yang sedang dihadapi adalah tuan punya diri. Dia tahu siapa orang di sekeliling, bagaimana perangai orang yang bermasalah dengannya, pendek kata dia tahu macam-macam lagi, sudah tentulah jawapan terbaik adalah daripada dirinya sendiri. Pakar yang mendengar, meskipun dia memiliki sepuluh Ph.D dalam bidang kaunseling, jawapannya mungkin tidak menepati kehendak dan sasaran, sebab dia berpandukan ilmu di universiti bukan pengalaman yang dialami. Walau bagaimanapun, bertanyakan kepada pakar anda, atau kaunselor anda tentulah tidak salah sama sekali. Andainya anda bersedia dan dengan penerangan kisah panjang yang terpaksa diceritakan, sudah pasti merujuk mereka adalah paling bijak untuk dilakukan. Namun, jika anda berharap proses meminta bantuan luar/ pakar itu sekejap, anda silap.. ia tidak semudah itu. Jika anda ini di dalam sesi itu hanya bercerita atau menerangkan situasi dengan 'sikit-sikit- atau surface sahaja, anda akan mendapat jawapan yang kurang menyenggat atau sekadar saranan umum yang boleh diambil daripada orang biasa. Hujungnya anda akan dapati jawapan yang anda rumuskan itu jauh lebih baik daripada apa yang disarankan oleh pakar. Lalu, anda akan mengecam pakar berkenaan ataupun mula hilang kepercayaan terhadap sesi itu sendiri. 

Secara jujur, saya pernah dihubungi oleh kaunselor bertauliah bagaimana hendak menyelesaikan masalah-masalahnya. Mahu tidak mahu, saya pun mendengar, lalu mendapati masalah mereka bukanlah teruk sangat hingga tidak boleh diselesaikan sendiri. Kenapa agaknya perkara ini berlaku?? 

 RESAH. GELISAH. GELABAH. ATAU GUNDAH? 

 IYA, Betul semua. 


Apabila berdepan dengan masalah, pertama sekali, kita perlu tenangkan diri. Berat manapun ujian yang sedang dihadapi, tarik nafas.. bertindak dengan tenang.. Dengan bertenang, semua masalah lebih mudah dihadapi serta dicairkan penyelesaiannya. Sebijak mana pun seseorang itu, tanpa fikiran yang tenang, masalah yang kecil pun akan menjadi besar kerana waktu itu emosi yang berkecamuk telah menutup opportunity untuk melihat masalah dengan jelas.. tanpa melihat masalah, kita pastinya tidak tahu bagaimana penyelesaian sepatutnya... Diharapkan perkongsian pada hari ini dapat memberi celik akal kepada pembaca semua. Salam.

No comments: